Assalamualaikum.
kisah ini cik atynn jumpa di laman sesawang FB. Cik atynn nak berkongsi dengan readers semua. Harap readers semua dapat iktibar dari cerita ini :)
KISAH YANG BENAR2 BERLAKU DI GOMBAK. Surau saya
pernah menjemput Al-Fadhil Ustaz Abu bakar Abdul Aziz untuk menyampaikan
ceramah Maulidur Rasul. Saya berkesempatan untuk berborak dengan beliau ketika
kami sama-sama makan setelah selesai ceramah. Antara topik yang dibincangkan
ialah pengalaman
beliau ketika menguruskan jenazah.
Di bawah ini saya perturunkan kisah beliau untuk
renungan bersama.
Pengalaman seorang Jurumandi Mayat Daerah Gombak,
Selangor.
Kisah benar ini diceritakan oleh Ustaz Abu Bakar
Abdul Aziz.
Ia berlaku di kawasan daerah Gombak di mana
jurumandi memandikan jenazah yang agak kaya orangnya dan berpengaruh. Begini ceritanya
:-
Saya telah terlibat dalam pengurusan jenazah lebih
daripada 20 tahun. Pelbagai pengalaman telah saya lalui kerana dalam tempoh itu
bermacam-macam jenis mayat yang telah saya uruskan. Ada yang meninggal dunia
akibat kemalangan, sakit tua, sakit jantung, bunuh diri dan sebagainya.
Bagaimanapun, pengalaman menguruskan satu jenazah
di sebuah tempat di sempadan Selangor dan Wilayah Persekutuan beberapa tahun
yang lalu, telah mendedahkan saya kepada satu kes yang cukup ‘istimewa’
sepanjang pengalaman saya menguruskan jenazah. Inilah kali pertama saya bertemu
dengan satu jenazah yang cukup aneh, menyedihkan, menakutkan dan sekali gus
menberikan banyak iktibar.
Peristiwa tersebut berlaku dua hari lagi sebelum
pilihanraya di Serkam, Melaka. Nama tempat dan nama orang yang meninggal itu
tidaklah dapat saya nyatakan di sini. Ia terjadi secara kebetulan ketika saya
diminta oleh anak Allahyarham menguruskan jenazah bapanya.
Pada hari itu, saya pergi ke rumah seorang sahabat
untuk mengubatkan mata ibunya bagi kali yang terakhir. Niat saya ialah supaya
mata ibu tadi sembuh dan boleh membaca Al-Quran. Tetapi apabila saya hendak
pulang, anak Allahyarham datang menemui sahabat saya tadi dan bertanya sama ada
saya mengurus jenazah atau tidak.
Kawan saya kata, “Cubalah tanya dia sendiri.” Kawan
saya ada memberitahu saya dua bulan yang lepas bahawa saya sahaja yang
mengadakan kursus dalam hal menguruskan jenazah. Anak Allahyarham menemui saya.
Saya beritahu dia bahawa jenazah tidak elok dibiarkan lama-lama.
Saya terus pergi ke rumahnya. Tapi bila saya hampir
sampai ke rumah Allahyarham, saya bau jenazah itu sangat busuk. Baunya cukup
pelik dan busuk. Saya telah menguruskan banyak jenazah tetapi tidak pernah saya
bertemu dengan mayat yang sebusuk ini.Bila saya tengok wajah Allahyarham,
sekali lagi hati saya tersentuh. Saya tengok wajahnya seperti sedang dirundung
oleh bermacam-macam perasaaan…takut, cemas, kesal dan bermacam-macam lagi.
Wajahnya seperti tidak mendapat nur daripada Allah SWT.
Kemudian saya pun ambil kain kafan yang dibeli oleh
anak Allahyarham dan saya potong-potongkan. Secara kebetulan pula, di situ ada
dua orang yang mengikuti kursus pengurusan jenazah yang pernah saya jalankan.
Saya ajak mereka membantu saya dan mereka bersetuju.
Tetapi semasa memandikan mayat itu, peristiwa
pertama berlaku. Untuk makluman pembaca, apabila memandikan jenazah, badan
mayat itu perlu dibangunkan sedikit dan perutnya hendaklah diurut urut untuk
membolehkan najis keluar. Maka saya pun urut urutkan perut Allahyarham.
Tapi apa yang berlaku pada hari itu amatlah
mengejutkan. Allah itu Maha Berkuasa kerana pada hari tersebut, najis tidak
keluar daripada dubur mayat tadi tetapi melalui mulutnya. “Lain macam saja ni”,
fikir saya. Lalu saya ubah sedikit teknik dan posisi mayat itu dan saya
urut-urutkan lagi perutnya.
Tapi najis itu tetap keluar dari mulutnya. Hati
saya berdebar-debar. Apa yang sedang berlaku di depan saya ini? Telah dua kali
mulut mayat ini memuntahkan najis. Saya harap ia tidak akan berulang lagi
kerana saya mahu mengurut perutnya bagi kali yang terakhir. Tiba-tiba ketentuan
Allah berlaku. Bila saya urut perutnya, keluarlah daripada mulut mayat itu
najis bersama beberapa ekor ulat yang masih hidup. Ulat itu adalah seperti ulat
najis. Warnanya putih. Dari mana datangnya ulat itu, jangan tanya saya.
Allahyarham meninggal dunia akibat diserang sakit
jantung dan waktu kematiannya dengan waktu saya menguruskan mayatnya cuma lima
jam setengah sahaja jaraknya. Aneh, bagaimana dalam tempoh yang sebegitu
singkat mayatnya boleh menjadi sedemikian rupa? Saya lihat wajah anak
Allahyarham. Mereka seperti terkejut. Mungkin malu, terperanjat dan aib dengan
apa yang berlaku pada bapa mereka.
Saya tengok dua orang pembantu tadi, mereka juga
terkejutdan panik. Lalu saya bacakan doa untuk mengelakkan badi mayat dan
sapukan ke muka mereka. Saya kata kepada mereka, “Inilah ujian Allah kepada
kita”. Kemudian saya minta salah seorang daripada pembantu tadi memanggil
kesemua anak Allahyarham.
Allahyarham pada dasarnya seorang yang beruntung
kerana mempunyai tujuh orang anak, dan semuanya lelaki. Seorang berada di luar
negeri dan enam lagi berada di sini. Bila semua anak Allahyarham masuk, saya
marahi mereka. Saya mengingatkan mereka bahawa tanggungjawab saya hanyalah
membantu menguruskan jenazah bapa mereka, bukan menguruskan sepenuhnya
tanggungjawab tersebut.
Sepatutnya sebagai anak, merekalah yang lebih afdal
menguruskan jenazah bapa mereka itu, bukannya tok imam, tok bilal, tok siak.
Saya kata, mungkin satu masa dahulu ibu mereka sibuk maka Allahyarham pernah
memandikan mereka. Itulah jasa dan pengorbanan seorang bapa.
Tetapi saya kesal kerana dalam saat-saat begini
anak-anak Allahyarham tidak langsung hendak membalas jasa bapa mereka itu.
Saya kemudiannya meminta izin serta bantuan mereka
untuk menonggengkan mayat itu. Takdir Allah, apabila ditonggengkan sahaja mayat
tersebut, tiba-tiba keluarlah ulat-ulat yang masih hidup. Hampir sebesen
banyaknya.
Besen itu boleh dianggarkan besar sedikit daripada
penutup bilah kipas meja. Subhanallah….suasana menjadi semakin panik. Saya
terus bertenang dan berharap tidak berlaku lagi kejadian-kejadian yang lebih
ganjil. Selepas itu saya mandikan semula mayat tersebut dan saya ambilkan
wuduk.
Saya minta anak-anaknya mengambil kain kafan. Saya
bawa mayat tersebut ke dalam biliknya dan tidak diizinkan seorang pun melihat
upacara itu kecuali waris yang terdekat, sebab saya takut perkara-perkara yang
lebih aib akan berlaku.
Takdir Allah jua yang menentukan. Apabila mayat ini
diletakkan di atas kain kafan, saya dapati kain kafan itu, , saya dapati kain kafan itu cukup-cukup memarasi hujung
kepala dan kakinya, tidak ada lebih. Maka saya tak boleh nak ikat kepala dan
kakinya. Tidak keterlaluan kalau saya katakan bahawa kain kafan itu seperti
tidak mahu menerima mayat tadi.
Tidak apalah, mungkin saya yang silap semasa
memotongnya. Lalu saya ambil baki kain, saya potongkan dan tampungkan di
tempat-tempat yang kurang. Memang kain kafan jenazah itu jadi tidak berapa
elok, tetapi apa nak buat Itu sahaja yang boleh saya lakukan.
Pada masa yang sama saya berdoa kepada Allah, “Ya
Allah, jangan Kau hinakan jenazah ini ya Allah, cukuplah sekadar peringatan
kepada hambamu ini”. Selepas itu saya berikan taklimat tentang sembayang
jenazah. Tiga kali taklimat diberikan. Yang hadir cuma 13 orang saja.
Invalid Domain Name
Selepas menyembahyangkan jenazah tadi, satu lagi
masalah timbul. Jenazah itu tidak dapat dihantarkan ke tanah perkuburan kerana
tidak ada kereta jenazah. Saya hubungi JAWI, JAIS, Pusat Islam, DBKL, Polis dan
sebagainya, tetapi yang peliknya, mereka juga tidak mempunyai kereta jenazah
kerana kereta yang ada sedang digunakan.
Dalam keadaan itu, seorang hamba Allah muncul
menawarkan bantuan. Lelaki itu meminta saya menunggu sebentar untuk membolehkan
dia mengeluarkan van dari garaj rumahnya. Kemudian muncullah sebuah van. Tapi
ketika dia sedang mencari tempat untuk meletakkan vannya itu di kawasan rumah
Allahyarham, tiba-tiba isterinya keluar.
Dengan suara yang tegas dia berkata di khalayak
ramai, “Abang, saya tak benarkan kereta saya ini digunakan untuk mengangkat
jenazah itu sebab semasa hayatnya dia tidak pernah benarkan kita naik
keretanya”. Renungkanlah, kalau tidak ada apa-apa sebab, tidak mungkin seorang
wanita yang lembut hatinya akan berkata demikian.
Jadi saya suruh tuan punya van itu membawa vannya
balik. Selepas itu muncul pula seorang lelaki menawarkan bantuannya. Lelaki itu
mendakwa dia adalah anak murid saya. Dia meminta izin daripada saya dalam 10-15
minit untuk membersihkan keretanya itu. Dalam jangka waktu yang ditetapkan itu,
muncul kereta tersebut. Tetapi dalam keadaan yang basah kuyup.
Kereta yang dimaksudkan itu sebenarnya adalah
sebuah lori, dan lori itu digunakan oleh lelaki tadi untuk menjual ayam.
Renungkanlah, pernahkan kita melihat satu jenazah dibawa ke kubur dengan lori
ayam? Dalam perjalanan menuju ke kawasan perkuburan, saya berpesan kepada dua
pembantu tadi supaya ahli masyarakat tidak payah membantu kami menguburkan
jenazah tadi.
Saya suruh mereka pergi kubur saudara mara dan
sahabat mereka, itu lebih baik. Saya tidak mahu mereka melihat apa-apa lagi
peristiwa ganjil. Rupanya apa yang saya takutkan itu berlaku sekali lagi –
takdir Allah yang terakhir amat memilukan. Bila sampai sahaja jenazah tersebut
ke kuburnya, saya perintahkan tiga orang anaknya turun ke dalam liang lahad dan
tiga lagi turunkan jenazah.
Takdir Allah, apabila jasad jenazah itu mencecah
sahaja ke bumi, tiba tiba air hitam yang busuk baunya keluar dari celah-celah
bumi yang pada asalnya kering. Hari itu tidak hujan, tetapi dari mana datangnya
air itu? Sukar untuk saya menjawabnya.
Lalu saya arahkan anak Allahyarham supaya
sendaikan jenazah bapa mereka dengan kemas. Saya takut nanti ia akan
terlangkup….na’uzubillah. Kalau mayat terlangkup, tidak ada harapan untuk
mendapat syafaat Nabi saw.
Papan keranda diturunkan dan kami segera kambus
kubur tersebut. Selepas itu kami injak-injakkan tanah supaya mampat dan bila
hujan ia tidak mendap. Tapi sungguh menyayukan, saya perhatikan tanah yang
diinjak itu menjadi becak. Saya tahu, jenazah berkenaan ditenggelamkan oleh air
hitam yang busuk itu. Melihatkan keadaan tersebut, saya arahkan anak-anak
Allahyarham supaya berhenti menginjakkan tanah itu. Tinggalkan dalam suku
meter, timbus dan bataskan.
Ertinya kubur itu tidak dikambus hingga ke
permukaan lubangnya, tetapi ia seperti kubur berlubang. Tidak cukup dengan itu,
apabila saya hendak membacakan talkin, saya tengok tanah yang diinjak itu ada
kesan serapan air. Masya-Allah, dalam sejarah hidup saya, inilah julung-julung
kalinya peristiwa seperti itu terjadi. Melihatkan keadaan itu, saya mengambil
keputusan untuk menyelesaikan pengebumian secepat mungkin. Sejak sekian lama
terlibat dalam pengurusan jenazah, inilah mayat yang saya tidak talkinkan.
Saya cuma bacakan tahlil dan doa yang paling
ringkas. Setelah itu saya pulang ke rumah Allahyarham dan himpunkan
keluarganya. Saya bertanya kepada isteri Allahyarham, apakah yang telah
dilakukan oleh Allahyarham semasa hayatnya.
Adakah dia pernah menzalimi orang alim, mendapat
harta secara merampas, menipu rasuah, memakan harta masjid dan anak yatim?
Isteri allahyarham tidak dapat memberikan jawapan. Memikirkan mungkin dia malu
untuk memberitahu, saya tinggalkan nombor telefon rumah saya. Tetapi sedihnya,
sehingga sekarang tidak seorang pun anak-anak Allahyarham menghubungi saya.
Untuk pengetahuan umum, anak-anak Allahyarham
merupakan orang-orang yang berpendidikan tinggi sehingga ada seorang yang
beristerikan orang Amerika, seorang dapat isteri orang Australia dan seorang lagi
isterinya orang Jepun. Saya bertambah sedih apabila dua orang yang membantu
saya menguruskan jenazah tadi menelefon saya.
Mereka kata mereka menyesal membantu saya
menguruskan jenazah Allahyarham kerana anak-anak Allahyarham telah menjadikan
mereka sebagai musuh. Saya bertanya, adakah mereka menceritakan kisah itu
kepada masyarakat? Mereka kata ‘TIDAK’. Peristiwa ini akan tetap saya ingat
sampai bila-bila. Kepada masyarakat, tanyalah diri kita adakah kita mahu
peristiwa itu terjadi pada diri kita sendiri, ibu bapa kita, anak kita atau
kaum keluarga kita? Adakah kita mahu peristiwa ini berlaku berulang-ulang kali
sehingga sampai satu masa nanti di mana masyarakat menganggap peristiwa ini
sebagai perkara biasa
wallahuaalam...
No comments:
Post a Comment